Danial adalah seorang pelajar sekolah berasrama penuh. Suatu hari Danial diminta oleh guru untuk mengisi satu slot pada perhimpunan pagi dengan tazkirah. Itu merupakan kali pertama dia diminta berucap di hadapan ramai.
Dia sedikit tergagap-gagap semasa menyampaikan ucapannya. Pelajar-pelajar lain mula menggelakkannya.
Setahun berlalu. Kali ini dia diminta berucap di hadapan kelas sahaja. Perkara sama berulang. Dia sedikit gugup dan digelakkan akhirnya. Sejak hari itu dia berasa teramat malu dan takut untuk berucap di depan ramai lagi.
Dia berkeyakinan yang dia adalah seorang yang gugup dan tiada bakat untuk berucap di khalayak ramai. Pengalaman membezakan kita dari segi perwatakan. Pengalaman membentuk diri kita.
Pengalaman dan kotak pemikiran
Pengalaman dan kejadian yang dialami setiap orang menjadi kayu ukur atau paradigma dalam diri masing-masing. Oleh kerana itu, ‘baik’ bagi kita mungkin ‘tidak baik’ bagi orang lain. Mungkin sebab itu apabila kita pergi ke tempat menjual minyak wangi, ada wangian yang kita kata ‘wangi’ tetapi kawan kita kata ‘busuk’.
Hal ini kerana setiap orang ada kayu ukurnya yang tersendiri dalam membuat penilaian. Kotak pemikiran menyebabkan kita tidak mampu berfikir secara objektif dalam sesuatu perkara. Kotak tersebutlah yang akan membatasi pemikiran kita.
Dan begitulah pengalaman mencorak diri saya semasa di sekolah dahulu. Memang saya dikenali sebagai seorang yang banyak cakap tetapi jika disuruh berucap di depan sahaja terus mulut terdiam. Malah jika disuruh untuk menguruskan mesyuarat persatuan pun saya akan menolak.
Pengalaman lalu menjadikan saya begitu. Pengalaman menjadi bahan gelak semasa di sekolah. Pengalaman itulah yang membentuk ‘kotak’ saya suatu ketika dahulu.
Berfikir di luar kotak bukan sahaja diperlukan semasa mencipta atau mereka bentuk sesuatu pelan atau projek. Tetapi juga dalam setiap penilaian, lebih-lebih lagi jika orang lain meminta kita menilai sesuatu.
Membuat penilaian terhadap orang lain mengikut ‘kotak pemikiran’ kita sendiri adalah bahaya. Lebih bahaya jika kita betul-betul yakin yang perkara tersebut adalah yang paling betul dan paling tepat. Sampai jika orang lain menyalahkannya, kita cuba membetulkan.
Dan begitulah proses berlangsung sehingga menyebabkan sindrom ‘Holier Than Thou’ melimpah tanpa dapat diri kita sendiri mengawalnya. Bukanlah salah jika kita punya pendapat sendiri berdasarkan hujah yang kita yakini. Tetapi menolak dengan cara menyalahkan pendapat orang lain yang juga ada hujah masing-masing adalah kurang tepat.
“Bebaskan diri anda dari pengalaman-pengalaman yang membelenggu pemikiran, Berfikirlah secara merdeka.” -Ary Ginanjar Agustian-
Berfikir di luar kotak memerlukan diri kita sendiri berada di luar kotak atau bergerak ke luar kotak. ‘Kotak’ di sini bermaksud kebiasaan yang kita buat atau yang kita lihat.
Mengambil contoh pelajar bernama Danial tadi yang sudah tidak yakin untuk berucap di depan khalayak ramai. Jika dia mahu berubah, dia perlulah keluar daripada kebiasaannya. Mungkin sekadar cakap seminit dua dahulu atau membaca sajak.
Berfirkir di luar kotak juga memerlukan kita membaca perasaan orang lain.
Naruto Vs Gaara
Naruto dan Gaara sejak dari kecil disisihkan oleh masyarakat sekitarnya. Umpama macam kita tinggal di kawasan kampung tetapi orang sekeliling tidak bertegur sapa dengan kita pun. Itulah yang berlaku kepada mereka berdua. Perkara tersebut membuatkan mereka berdua berasa sepi dan tersisih.
Tetapi Naruto cukup berbeza dengan Gaara. Dia cuba sedaya upaya untuk membuatkan dirinya dihargai masyarakat. Manakala Gaara pula sekadar membiarkan sahaja perkara tersebut berlaku.
Hasilnya, masyarakat Konoha makin dapat menerima kehadiran Naruto. Malah yang paling penting, Naruto tetap mempunyai keyakinan dalam dirinya yang suatu hari nanti seluruh Konoha akan menghargai kewujudannya. Sebaliknya berlaku kepada Gaara, dia tidak berasa kisah pun jika orang lain tidak mempedulikannya.
Semasa mereka berdua bertembung dalam satu pertempuran, saat Konoha sedang diserang hebat oleh Orochimaru, Naruto menyedari tentang persamaan yang terdapat dalam diri mereka berdua. Lantas terus faham dan bertindak menyedarkan Gaara dengan cara yang sesuai.
Menyelesaikan masalah dengan berfikir di luar kotak
Suatu hari semasa saya dengan seorang rakan sedang berjalan-jalan, lalu sekumpulan remaja dengan pakaian tidak senonoh. Terus sahaja rakan saya berkata, “Apalah nak jadi dengan budak-budak ini. Jomlah kita pergi dari sini.”
“Sekejaplah lagi. Tak habis merayau lagi ni. Kita duduk-duduk dulu sini.” Sengih saya kepadanya.
Teringat saya kata-kata seorang pensyarah, “Saya kalau boleh nak tengok yang pakai kopiah berjalan dengan yang kaki samseng, yang pakai tudung labuh tidaklah berjalan dengan geng-geng pakai tudung labuh juga.”
Bagi saya, jika betul ingin membantu rakan-rakan lain, berjalanlah dengan mereka dan fahami ‘kotak pemikiran’ mereka.
Kredit kpd :
http://studiomuslim.com/pengurusan/soft-skills/berfikir-di-luar-kotak/#more-120Komen :
An tertarik dengan kata-kata ini,
'' Teringat saya kata-kata seorang pensyarah, “Saya kalau boleh nak tengok yang pakai kopiah berjalan dengan yang kaki samseng, yang pakai tudung labuh tidaklah berjalan dengan geng-geng pakai tudung labuh juga.”
Bagi saya, jika betul ingin membantu rakan-rakan lain, berjalanlah dengan mereka dan fahami ‘kotak pemikiran’ mereka''
Susah gak nak kamcing dgn org yg peribadi agak berlainan daripada kita, tp ni la kaedah dakwah yg terbaik perlu kita absorb-EMPATI TERHADAP ORANG LAIN.