Saturday, May 19, 2007

Ulama Saudi larang nada dering azan, ayat Al-Quran

RIYADH: Ulama Arab Saudi melarang laungan azan dan bacaan ayat suci Al-Quran dijadikan sebagai nada dering telefon bimbit kerana ia dianggap menjejaskan kesucian Islam.Sheikh Saleh Al-Shamrani berkata, perbuatan itu bersifat makruh apalagi jika deringan itu berlaku ketika pemiliknya berada dalam tandas atau pada premis hiburan seperti disko.
"Ayat suci Al-Quran amat tinggi nilainya dan tidak tepat direndahkan tahapnya sebagai nada dering telefon bimbit. Paling rendah hukumnya adalah makruh," katanya kepada akhbar Arab Al-Sharqul Awsat, kelmarin.
Beliau yang juga pensyarah Akademi Ilmiah Universiti Islam Raja Mohamed Saud, membuat ulasan itu berikutan semakin ramai umat Islam menjadikan laungan azan dan bacaan ayat suci Al-Quran menggantikan irama muzik moden sebagai nada dering.Sheikh Saleh berkata, larangan menggunakan ayat suci Al-Quran dan azan dibuat atas ilat atau alasan ia sememangnya tidak boleh digunakan berdasarkan banyak sebab, termasuk tempat.
"Ia seperti deringan ketika pemilik berada di tempat kotor seperti tandas atau tempat tidak sesuai seperti disko atau majlis apabila ketika itu orang ramai sedang ketawa," tegasnya.Seorang lagi ulama, Suad Afif mahu satu garis panduan diwujudkan khusus mengenai penggunaan ayat suci Al-Quran dan azan.
"Kita tidak mahu di tengah kegilaan ramai mendapatkan nada dering diminati,aspek kemurnian agama Islam itu pula tercemar. Kita juga tidak mahu keindahan dan kemurnian ayat suci dan azan itu diperlekeh baik secara sengaja atau tidak," katanya.
Sementara itu, Mufti Perak, Datuk Seri Harussani Zakaria, berkata nada dering ayat suci Al-Quran dan laungan azan, dari satu aspek mengingatkan umat Islam mengenai ibadat, seperti kewajipan menunaikan solat.
"Memanglah ia baik untuk umat Islam tetapi dari satu segi, jika nada dering itu didengar dalam tandas, tidak baik. Walaupun kita tidak nampak tulisan ayat Al-Quran, ia tidak baik untuk didengar dalam tandas.
"Ayat suci Al-Quran tidak boleh dibawa ke tempat kotor dan najis. Walaupun nada dering, ia kalau didengar di tempat seperti itu merendahkan kesucian Al-Quran," katanya.Beliau menasihatkan umat Islam supaya berhati-hati dalam memilih nada dering telefon bimbit bagi mengelakkan melakukan dosa.
Wallahua’lam

No comments: