Monday, June 14, 2010

Mahasiswa tidak profesional?

Beberapa hari yang lepas aku tersentak melihat beberapa posting di dalam sebuah laman sosial masa kini (Facebook) menyatakan mahasiswa yang bergiat aktif dalam berorganisasi khususnya menjalankan program secara tidak profesional dalam gerak kerja organisasi. Aku menyokong penuh kenyataan ‘penceramah popular itu.’ Mungkin kita tertanya-tanya dimana sikap tidak profesional mahasiswa? Berikut ialah beberapa catatan ‘Tidak prfesional mahasiswa’:

1. Menjemput penceramah untuk program mereka beberapa hari sebelum program berlangsung.(Kelemahan dalam perancangan)

2. Menggunakan email peribadi bukan email organisasi rasmi mereka untuk berkomunikasi dengan pihak luar.

3. Ayat-ayat tidak sesuai/tidak persuasif di dalam komunikasi dalam email/telefon/berhadapan pihak luar.

4. Penampilan yang tidak sesuai sebagai etika mahasiswa.

5. Kelemahan percaturan pelapis kepimpinan akan datang dalam organisasi menyebabkan organisasi akan datang ‘porak-poranda’ atau ‘terkubur.’

6. Komitmen yang terlalu banyak kepada seseorang individu menyebabkan kualiti kerja terabai.

Banyak lagi perkara yang hendak disenaraikan berdasarkan pemerhatian dan pengalaman aku terlibat dalam organisasi. Bukanlah aku yang terbaik namun aku ingin berkongsi sahaja dengan para pemimpin mahasiswa dan rakan-rakan yang terlibat dalam berorganisasi. Tidak diakui mahasiswa ialah mereka yang masih mentah,masih mencari pengalaman dan melakukan trial-error dalam sesuatu perkara. Namun perlu diingat, di dunia luar/semasa bekerja di alam realiti, kesilapan kecil perlu dielakkan kerana ia mencerminkan peribadi sesorang/organisasi. Aku teringat kata-kata seorang senior.’Di dunia sebenar,tiada masa untuk melakukan kesilapan.’

Nah,adakah perlu kita menjadi terlalu sempurna?Ya, memang perlu! Walaupun kita tidak mampu untuk sempurna (Tidak akan!) tetapi sebenarnya ini ialah berkaitan Kemahiran Insaniah atau aku suka menyebut sebagai profesionalisme! Mahasiswa mempunyai banyak sumber,banyak peluang dan banyak masa. Mereka boleh belajar di kampus;dalam organisasi,dalam bilik kuliyah,terlibat dengan organisasi luar,malahan paling mudah mencari bahan-bahan di perpustakaan,paling-paling mudah;tekan papan kekunci di dalam internet,terus dapat apa yang dikehendaki!


Aku suka mencari bahan-bahan mengenai profesionalisme di dalam internet. Dulu beberapa ketika sebelum pihak kerajaan menggunakan istilah Key-performance-Index (KPI)/Petunjuk prestasi Utama, aku ada menyiarkan artikel mengenai KPI di dalam blog ini dan mula mengadaptasi di dalam organisai aku. Pihak kerajaan sekarang menggunakan banyak model-model yang boleh ditiru oleh mahasiswa dalam meningkatkan profesionalisme organisasi mereka. Yang terbaru ialah Pelan Transformasi Kerajaan (Government Transformation Programme/GTP)/.Aku selesai menganalisis GTP ternyata mekaniseme pelaksanaannya cukup gratis dan praktikal.Untuk mengetahu lebih lanjut sila layari http://www.transformation.gov.my/. Sekali lagi aku menegaskan bukan aku hendak memberi kredit kepada pihak tertentu namun aku ingin mengambil intipati yang baik iaitu “Bagaimana Model ini dijalankan untuk meningkatkan profesionalisme mahasiswa.” Ini yang lebih penting.

Di dalam simpanan aku banyak terkandung nota-nota, malahan bahan-bahan ceramah yang di dapati di internet ataupun dibuat untuk tujuan kajian peribadi mengenai

  • Pengurusan Organisasi.

  • Kajian pengurusan strategik.

  • Protokol dan etika.

  • Kefasilitatoran

  • Banyak lagi yang aku sedang tentukan genrenya.

Ternyata sebenarnya jika mahasiswa tahu caranya untuk meningkatkan profesionalisme mereka, aku percaya mahasiswa akan disegani sebagai ‘Masyarakat Menara Gading’ yang bersedia untuk menjadi pihak ‘Kerajaan pelapis’ untuk pimpinan negara akan datang. Benarlah, untuk melihat generasi profesional,masyarakat akan datang,lihatlah bagaimana anak muda hari ini beraksi.

Tuesday, June 1, 2010

KENYATAAN MEDIA SPMM MENGUTUK SERANGAN ISRAEL KE ATAS 'FLOTILLA PEMBEBASAN' GAZA

KENYATAAN MEDIA
SPMM MENGUTUK SERANGAN ISRAEL KE ATAS 'FLOTILLA PEMBEBASAN' GAZA

Sekretariat Pendakwah Muda Malaysia (SPMM) melahirkan ucapan takziah dan bersimpati kepada 19 anak kapal Mavi Mavara yang meninggal dunia dan 30 yang lain cedera akibat serangan rejim Zionis Israel.

Flotila pembebasan bagi menghantar bantuan kemanusiaan ke Genting Gaza merupakan satu gerakan bagi mewujudkan kesedaran global terhadap penderitaan yang ditanggung oleh penduduk Palestin di Gaza, ekoran sekatan yang dikenakan oleh rejim Zionis Israel Laknatullah.

Memandangkan isu ini merupakan isu sejagat yang meliputi semua kaum dan agama tanpa mengira sempadan negara, warna kulit, dan parti politik, SPMM memohon semua pihak mengambil bahagian mengutuk sekeras-kerasnya tindakan zalim ini dengan mengambil tindakan mengikut kemampuan masing-masing seperti mengambil bahagian dalam demonstrasi aman yang dianjurkan oleh pihak yang berautoriti, mengadakan solat hajat di semua masjid dan surau, bacaan qunut nazilah, mengadakan kempen kesedaran melalui edaran risalah dan sebagainya dalam usaha kita melahirkan rasa prihatin kita ke atas isu ini.

Tindakan tidak berperikemanusiaan oleh pihak komando dan tentera Israel menyerang rombongan ahli pasukan bantuan kemanusiaan antarabangsa ini nyata tidak boleh dimaafkan dan membuktikan Yahudi terlalu angkuh dan menghina undang-undang antarabangsa. Semua negara Islam sepatutnya tidak mengadakan hubungan diplomatk dengan Israel dan sekutunya. Semua pemimpin Islam sepatutnya mengadakan tindakan embargo dan boikot secara berterusan ke atas barangan Israel dan sekutunya dengan matlamat kita dapat melumpuhkan 'kekuatan ekonomi' mereka.

Konklusinya, semua pihak terutamanya generasi muda (para pendakwah muda) perlu mempunyai keazaman yang tinggi untuk menguasai dan mendalami ilmu pengetahuan dalam usaha mendepani isu-isu umat Islam yang semakin mencabar. Kita berdoa kepada Allah agar kegemilangan umat Islam suatu masa dahulu akan berulang dengan lahirnya golongan 'Al-Fateh alaf baru' dan 'pahlawan Salahuddin Al-Ayyubi' yang meneruskan legasi kecemerlangan umat Islam di seluruh Institut Pengajian Tinggi (IPT) seluruh negara.

Daing Muhamad Fadzil Abd Latif
Presiden Sekretariat Pendakwah Muda Malaysia (SPMM)
Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)