ARKIB : 19/01/2010 (UtusanOnline)
KOTA KINABALU 18 Jan. – Institusi pengajian tinggi tempatan disaran menubuhkan Parlimen Mahasiswa sebagai platform untuk golongan itu mengutarakan pandangan berhubung isu-isu semasa dan berkaitan.
Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, sebagai landasan terbaik untuk mahasiswa bersuara, setiap universiti perlu mempunyai model Parlimen Mahasiswa sendiri.
“Setakat ini, belum ada yang menubuhkan Parlimen Mahasiswa, tetapi beberapa buah universiti diketahui dalam proses ke arah itu.
“Universiti Sains Malaysia (USM) merupakan yang pertama akan melancarkan Parlimen Mahasiswa pada Februari ini,” katanya.
Beliau bercakap kepada pemberita selepas merasmikan Program Wacana Ilmu Ke Arah Pemantapan Pelajar di Dewan Teater Tun Hamdan, Yayasan Sabah di sini hari ini.
Menurutnya, sebelum ini, proses menyalurkan pendapat dilakukan melalui Majlis Perwakilan Pelajar atau persatuan, tetapi ia kurang berkesan dalam mewakili suara mahasiswa.
Sementara itu, Saifuddin turut meminta pihak pentadbiran universiti agar tidak memperlekeh dan mengetepikan pandangan mahasiswa berhubung sesuatu isu kerana ia boleh menyekat budaya intelektualisme.
Beliau berkata, tindakan itu juga akan mengekang usaha menyuburkan minda dan memberi pendedahan kepada mahasiswa agar lebih berani bersuara.
“Perkara ini perlu dihentikan. Kita tidak mahu mahasiswa berasa dikongkong, diperkecil atau dianggap seperti budak-budak.
“Kita mesti mengiktiraf suara mereka,” katanya.
Saifuddin berkata, pihaknya menerima banyak aduan mengenai tindakan segelintir pemimpin dan pensyarah universiti yang mengeluarkan kenyataan berunsur memperlekehkan pandangan mahasiswa.
Katanya, golongan mahasiswa seharusnya diberi pendedahan dan peranan untuk mengemuka idea-idea baru.
Mengenai rancangan untuk menaik taraf tiga daripada 32 politeknik di seluruh negara menjadi universiti pada tahun ini, beliau memberitahu, perkara itu masih dalam proses pemilihan.